15 August 2011

HIKMAH PUASA DAN QIAM MENURUT PERSPEKTIF ISLAM DAN SAINS

Ramadhan merupakan suatu hadiah dan anugerah kepada dunia kesihatan kerana ia mampu meningkatkan taraf kesihatan masyarakat. Melalui kajian sains didapati berpuasa, akan menurunkan kadar glukos darah, tekanan darah, khasnya tekanan darah sistolik dan juga lipid darah. Puasa juga turut menurunkan berat badan. Suatu kongres antarabangsa bertemakan “Kesihatan dan Ramadhan” telah diadakan di Casablanca, Morocco pada tahun 1996. Pakar-pakar perubatan dari seluruh dunia telah membentangkan lebih kurang 50 kajian ketika itu. Kesemua kajian itu mengesahkan puasa mampu mencegah serta menyembuhkan pelbagai jenis penyakit yang dihidapi manusia. Kesimpulan kongres itulah yang menekankan 4 fadhilat berpuasa dari sudut kesihatan yang jelas iaitu, menurunkan gula darah, tekanan darah, lipid darah dan berat badan. Sebaliknya, dunia perubatan pula telah mengenal pasti pelbagai punca penyakit yang dialami masyarakat dunia masa kini dan antara penyakit yang paling kerap berlaku di dunia masa kini menurut Pertubuhan Kesihatan SeDunia ialah disebabkan sindroma metabolik. Sindroma ini meliputi 4 masalah iaitu:
(1) Glukos Darah Tinggi
(2) Tekanan Darah Tinggi
(3) Lipid Darah Tinggi Dan
(4) Lebih Berat Badan Atau Obesiti

Dengan hanya meneliti penyakit utama dunia kini dan kesan puasa pada tubuh badan dapatlah kita simpulkan bahawa berpuasa adalah sangat bersesuaian untuk mencegah penyakit sindroma metabolik yang melanda dunia masa kini.

Hikmah puasa pada kesihatan sangat banyak. Di samping manfaat fisiologi badan, ibadah puasa turut menambahkan kesihatan jiwa setelah dikaji dari sudut psikologi. Bacaan al-Quran pula meningkatkan daya ingatan di samping ketenangan jiwa. Solat tarawih pula melalui suatu kajian mendapati akan membakar rata-rata 10 kalori tenaga setiap raka`at, di samping meningkatkan kesihatan tulang, otot, sendi dan lain-lain.

Satu sumbangan besar ibadah puasa Ramadhan kepada manusia adalah dalam membantu mengatasi masalah merokok. Ramai perokok sering kali memikirkan untuk berhenti dari merokok dan sebahagian besar telah pun mencubanya beberapa kali. Kebanyakan mereka sedar yang merokok itu merosakkan kesihatan mereka dan juga menjejaskan kesihatan orang-orang di sekeliling mereka. Melalui kajian-kajian, didapati 70 peratus dari perokok-perokok ternyata telah pun mencuba berhenti merokok dan 40 peratus dari perokok-perokok mencuba berhenti setiap tahun. Kita telah kenal pasti sebab-sebab yang menyukarkan seseorang untuk berjaya berhenti merokok dan di antara punca utama ialah sifat ketagihan terhadap nikotin, suatu bahan yang terdapat dalam kandungan asap rokok. Perokok mengalami kesukaran berhenti merokok kerana tubuhnya yang telah terbiasa dengan dadah nikotin yang mana ketiadaannya dalam masa dua hingga empat jam akan mula mengalami gejala gian. Walaubagaimanapun, pada bulan Ramadhan al-Mubarak seorang perokok yang kuat sekalipun boleh berhenti merokok mulai dari sahur hinggalah masa berbuka yang melebihi 12 jam. Ini adalah satu perkara yang tidak dapat dijawab dengan ilmu sains kerana mengikut keadaan biasa setelah dadah nikotin dalam darah menurun beberapa jam, otak akan memberi arahan meminta tambahan nikotin. Perkara ini tidak berlaku semasa bulan Ramadhan kerana perokok-perokok boleh berhenti melebihi 12 jam tanpa merokok.

Sebenarnya terdapat banyak faktor yang memudahkan seseorang untuk berhenti merokok pada bulan Ramadhan. Antara lain adalah suasana harian masyarakat Islam yang berubah pada bulan Ramadhan. Suasana di tempat kerja, di pejabat, di rumah pada waktu siang dan malam berbeza jika dibandingkan dengan bulan-bulan yang lain. Kita dapati peluang dan keadaan yang baik untuk berhenti merokok wujud kerana tiada suasana yang mana perokok itu selalu merokok seperti selepas makan pagi, tengah hari bersama-sama dengan kawan sekerja seperti pada hari-hari lain. Adalah diharapkan agar kita dapat membantu lebih satu juta rakyat Malaysia beragama Islam yang merokok untuk berhenti merokok sempena bulan puasa Ramadhan al Mubarak tahun ini.

( Oleh : Dr. Abu Bakar bin Abdul Majid, Mantan Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Kesihatan Awam, Kementerian Kesihatan Malaysia )

04 August 2011

BATUK...BATUK...BATUK.....



Alhamdulillah, dah masuk puasa yang ke-4 hari ni. Bulan Ramadhan semakin berlalu. Adakah kita memanfaatkan bulan Ramadhan ini dengan sebaik yang mungkin? Satu persoalan yang hanya dapat dijawab oleh tuan punya badan.

Semenjak dari permulaan puasa sehingga sekarang, asek batuk je... mungkin sebab perubahan cuaca yang berlaku di pulau ni. Kedatangan Ramadhan di Labuan tahun ni disambut dengan cuaca yang amat panas. Sesuai dengan pengertian Ramadhan itu sendiri yang membawa maksud musim panas. Tapi, jangan jadikan itu sebagai alasan untuk tidak berpuasa. huhuhu

Batuk tetap batuk. Tapi puasa mesti ditunaikan.

Kepada rakan2 sekalian, jaga kesihatan sepanjang menjalani ibadah yang mulia ini.

03 August 2011

MENU HARI INI????




ASSALAMUALAIKUM

Selamat berpuasa untuk hari yang ke-3. Alhamdulillah... Agak-agaknye petang ni nak berbuka dengan ape ye? Kalau saya, biasanya tak banyak. Air tebu, pizza, speghetti, aiskrim, nasi kerabu, soto makasar, roti john, air bandung, ayam golek, mi goreng, kebab & puding...

hohohohohoho...... ^__^

02 August 2011

BILA RAMADHAN.... IA TUMBUH BAGAI CENDAWAN!!!

Lazimnya kalau tiba je bulan Ramadhan, semua orang akan bercakap tentang satu perkara. Iaitu...

BAZAR RAMADHAN!!!
Semalam sebelum pergi membuat cerapan bulan, sempat jugak merewang-rewang ke bazar Ramadhan dengan member cerapan. Tujuannya, ofkos la nak beli barang sungkai(berbuka).
Dengan keadaan panas terik bagai terbakar kulit, kami gagahkan jua untuk meredah lautan manusia yang mempunyai satu niat yang sama.
Dalam sibuk-sibuk membeli, sempat jugak tangan ni gatal nak tekan butang snap. Macam-macam ada kat Bazar Ramadhan. Ayam golek, kuih-muih, nasi dagang, nasi kerabu, laksam... semua ada!!!
Tapi peringatan kepada rakan-rakan yang berkunjung ke bazar tu, membeli memang boleh, tapi jangan sampai membazir. Belilah sekadar cukup untuk kita atau keluarga berbuka. Kan membazir itu amalan syaitan....

Renung-renungkan dan SELAMAT BERPUASA!!! ^__^

01 August 2011

AHLAN WA SAHLAN YA RAMADHAN



AHLAN WA SAHLAN YA RAMADHAN!!!
Mungkin itu adalah merupakan ucapan yang seringkali kita dengar semenjak semalam hingga sekarang…
Ramadhan menjelang lagi!! Alhamdulillah bersyukur kepada Allah yang telah mengizinkan diri ini untuk bersua dengan bulan Ramadhan pada tahun ini.
Semalam kitorang telah membuat cerapan Rasmi Hilal Ramadhan. Tapak cerapan untuk Wilayah Persekutuan Labuan adalah di Tingkat 13, Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMS KAL). Boleh dikatakan itu adalah merupakan tempat yang paling tinggi di seluruh pulau Labuan ni.
Ramai orang yang datang untuk menyaksikan sendiri proses cerapan dilakukan, jenis data yang digunakan dan yang paling penting ramai yang datang kerana untuk menyaksikan bagaimana rupa bentuk anak bulan tersebut.
Secara keseluruhannya cuaca baik dan kurang berawan. Tapi malangnya daripada rekod rasmi, hilal tidak kelihatan.
Tapi apepun, tahniah kepada mereka yang telah berusaha keras untuk memastikan perjalanan majlis ini lancar dan tanpa sebarang masalah.
Kita layan dulu detik yang sempat dirakam semalam...
SWOOSHH!!!